minda-insani.blogspot.com

Akhirat destinasi pasti..

minda-insani.blogspot.com

Al-Quran dan As-Sunnah Pegangan Hidup

minda-insani.blogspot.com

Islam agama yang mudah.

Selamat datang ke blog Minda Insani.

     
 Kisah al-Barra' Ibnu 'Azib yang ditegur Rasulullah s.a.w

Diriwayatkan oleh al-Barra’ Ibnu ‘Azibradhiallahu’anh di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengajari beliau mengenai zikir sebelum tidur:

أللهم أسلمت نفسي إليك، وفوضت أمري إليك، ووجَّهْتُ وجهي إليك، وألجأت ظهري إليك، رغبة ورهبـة إليك لا ملجأ ولا منجا منك إلا إليك، آمَنْتُ بكتابك الذي أنزلت وبنـبـيك الذي أرسلت.


Ya Allah, aku serahkan diriku kepada-Mu dan aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, aku menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku menyandarkan belakangku kepada-Mu, kerana rasa suka dan takut kepada-Mu. Tiada tempat perlindungan dan penyelamat daripada (ancaman-Mu) kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga dengan Nabi yang telah Engkau utuskan.
  [Hadis riwayat al-Bukhari bersama Fath al-Baari 1/357 (no. 247)]

" Lafaz zikir ini telah dihafaz dan dibaca oleh al-Barra’ Ibnu ‘Azib radhiallahu’anh sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kecuali perkataan وبنبيك (dan juga dengan Nabi Engkau) dia tukarkan dengan perkataan وبرسولك (dan juga dengan Rasul Engkau). Mendengarkan bacaan al-Barra’ itu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pantas menegur serta melarang beliau daripada menukar perkataan tersebut. "
[Hadis riwayat al-Bukhari bersama Fath al-Baari 1/357 (no. 247).]


Jika difikirkan secara logik, apa yang dilakukan oleh al-Barra’radhiallahu’anh hanyalah perkara kecil, bahkan dari segi maknanya perkataan Rasul nampak lebih mulia dan lebih terhormat berbanding perkataan Nabi kerana setiap yang menjadi Rasul adalah Nabi, sedangkan bukan semua yang menjadi Nabi itu Rasul. Akan tetapi al-Barra’ radhiallahu’anh akur dengan teguran Nabishallallahu ‘alaihi wasallam dan langsung tidak mempertikaikannya sebagai perkara ‘remeh temeh’.
Teguran dan larangan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menukar perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa mengekalkan perkataan asal adalah suatu ajaran agama yang tidak boleh dipandang ringan. Kalau dalam hal penukaran satu kalimah daripada satu lafaz zikir pun diambil berat oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dalam hal-hal yang berkaitan hukum halal dan haram atau sunnah dan bid’ah, tentulah baginda prihatin terhadapnya.
[Lihat penjelasan ini dalam 15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang karya Dr. Azwira Abdul Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2006), ms. 107.]

                                                                                      gambar hiasan


         Dalam hal ini, Imam al-Mubarakfuri rahimahullah menerusi kitabnya yang berjudulTuhfah al-Ahwazi menjelaskan beberapa hikmah yang terkandung di sebalik pelarangan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap tindakan al-Barra’ radhiallahu’anh daripada menukar kalimah ‘Nabi’ kepada ‘Rasul’ dalam hadis di atas.
Beliau berkata:
Para ulamak telah mengemukakan beberapa alasan menunjukkan bahawa Rasulullah shalallahu'alaihi wasallam melarang mengubah doa yang diajar oleh Baginda daripada (kalimah) dan Nabi-Mu kepada (kalimah) dan Rasul-Mu.  Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa alasan utamanya ialah kerana bacaan zikir adalah bersifat taufiqiyah (berdasarkan petunjuk wahyu). Ia tidak boleh disamakan antara satu sama lain. 


          Oleh itu, wajib membacanya seperti lafaz yang sedia ada. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh al-Mundziri. Beliau berkata bahawa seseorang mesti membaca setiap huruf dalam zikir seperti yang diriwayatkan. Ada kalanya pahala bacaan itu berkait dengan huruf-huruf itu. Mungkin baginda menerima wahyu yang memerintahkan agar membaca doa dan zikir itu. Jadi, wajib membacanya mengikut apa yang diriwayatkan.
[Lihat Fatwa Panduan Solat Dari Takbiratulihram Sehingga Salam karya Abu Ruwais Al-Subrawi (Karya Bestari Sdn. Bhd., Selangor, 2006), ms. 133.]


         Menerusi kitabnya, Shahih at-Targhib wa at-Tarhib jilid 1, ms. 388, Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (1420H) pula berkata: 

Di dalam hadis ini terdapat peringatan yang sangat tegas, bahawa wirid-wirid dan zikir-zikir itu (adalah bersifat) taufiqiyyah (iaitu terikat dengan ketentuan al-Qur’an dan al-Sunnah –pen). Tidak boleh dirubah, baik dengan (berbentuk) tambahan, pengurangan atau hanya dengan merubah lafaz yang tidak mengubah erti. Kerana lafaz Rasul lebih umum dari Nabi, tetapi Rasulullah shalallahu‘ alaihi wasallam  tetap membetulkannya.
[Lihat Syarah Hisnul Muslim Min al-Adzkar al-Kitab wa al-Sunnah: Adzkarush Shabah wa al-Masa’ karya Majdi ‘Abdil Wahhab Ahmad; dalam edisi terjemahan oleh Ade Ichwan Ali di atas judul Keajaiban Zikir Pagi Dan Petang, (Media Tarbiyah, Jawa Barat, 2007), ms. 13.]


          Kesimpulannya, zikir adalah bersifat taufiqiyyah iaitu ia terikat dengan ketentuan yang digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallamyang sahih. Demikianlah juga dengan wirid-wirid selepas mengerjakan ibadah solat-solat fardhu. Ia tidak boleh diubah suai kepada apa juga kaedah dan bentuk, baik dari sudut lafaz mahupun bilangannya.

          Oleh yang demikian, hendaklah kita sentiasa memastikan bahawa amalan zikir dan wirid harian yang kita kerjakan adalah bertepatan dengan aturan syariat agar ianya diterima di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai satu amal shalih. Di samping itu juga, kita hendaklah berusaha semampu yang mungkin menghindari diri kita daripada mengamalkan apa juga amalan-amalan bid’ah dan yang berkaitan dengannya.

*petikan dari buku  Marilah Berzikir Selepas Solat Fardhu Bersama Rasulullah, karya Mohd Hairi Nonchi, terbitan Jahabersa dengan sedikit susunan oleh admin Minda Insani