minda-insani.blogspot.com

Akhirat destinasi pasti..

minda-insani.blogspot.com

Al-Quran dan As-Sunnah Pegangan Hidup

minda-insani.blogspot.com

Islam agama yang mudah.

Selamat datang ke blog Minda Insani.

Archive for November 2010

“Ai, kejap bebenor kamu berzikir, Amir! Apa kamu malas berzikir?!” 

tegur sang bapa mertua kepada menantunya sejurus solat Zuhur selesai didirikan berjamaah.
Mereka berdua ke masjid tengah hari itu sebelum pulang bersama menjamah hidangan tengah hari.
“Eh, taklah ayah. Saya memang berzikir seperti mana yang diajarkan Nabi s.a.w. untuk dibaca selepas solat,” jawab Amir sambil dia dan ayahnya keluar dari masjid.
Suasana tengah hari itu agak tenang dan redup. Biarpun terik mentari menyinari, namun alah bisa tegal biasa bagi mereka berdua yang selalu berjalan kaki ke masjid setiap hari.
“Cuba kamu sebut apa yang kamu zikirkan tadi. Biar ayah dengar. Mana tahu ayah boleh belajar sesuatu tengah hari ini,” sang bapa mertua begitu terbuka untuk mendengar biarpun garam terlebih dimakannya berbanding sang menantu yang muda.
Amir bersetuju lalu berkata, “hmm, baiklah ayah. Setiap kali solat Fardhu, selepas memberi salam, kita diajarkan untuk membaca,
Zikir1
Maksudnya: “Aku mohon ampun kepada Allah (3X). Ya Allah! Engkaulah yang mempunyai kesejahteraan dan Engkaulah asalnya kesejahteraan itu; Maha Besar Berkah-Mu, wahai Zat yang Maha Agung dan Maha Mulia.” – [Sahih Muslim: 0591]
Kita juga diajarkan untuk membaca tahlil iaitu,
Zikir2
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan selain Allah sendiri-Nya tidak ada sekutu-Nya, kepunyaan-Nya segala kerajaan, dan kepunyaan-Nya segala puji-pujian, dan Dia atas setiap sesuatu Maha Berkuasa.
Ya Allah! Tidak ada yang dapat menahan apa yang hendak Engkau berikan, dan tidak ada pula yang dapat memberi apa yang Engkau halangi, dan tidaklah bermanfaat bagi yang memiliki kebesaran (kerana hanya) daripada Engkau sahajalah kebesaran itu.” – [Al-Lu'Lu' wal Marjan: 0347]
Zikir3
Maksudnya: Tidak ada Tuhan selain Allah sendiri-Nya tidak ada sekutu-Nya, kepunyaan-Nya segala kerajaan, dan kepunyaan-Nya segala puji-pujian, dan Dia atas setiap sesuatu Maha Berkuasa.
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah, tidak ada Tuhan selain Allah, dan tidak disembah selain-Nya.
Bagi Allah segala nikmat, dan bagi Allah segala keutamaan, dan bagi Allah puji-pujian yang sebaik-baiknya.
Tidak ada Tuhan selain Allah, kami ikhlaskan ketaatan (ibadah) hanya kepada-Nya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.” – [Sahih Muslim: 0594]

“Oh, begitu. Ayah jarang dengar kalimah zikir tahlil yang kedua yang kamu sebutkan tadi tu, rupanya ada dalam hadih ye?” sang bapa mertua merespons menunjukkan minatnya.
“Ya, ayah! Ada dalam hadith riwayat Imam Muslim rahimahullahu ta’ala, seterusnya seperti yang biasa kita amalkanlah iaitu Ayat Kursi dan al-Mu’awwizat,” sambung Amir memberi penerangan bak seorang guru mengajar murid pula gayanya.
“Mua’awwizat?”
“Orang Melayu panggil 3 Qul lah ayah”
“Oooh..hahaha”

AYAT KURSI
Ayat_Kursi
Amir menyambung lagi, “kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah sebut yang siapa-siapa yang membaca Ayat Kursi ini setiap kali selepas solat fardhu, dia dalam pemeliharaan Allah sehingga solat yang berikutnya. Sebutan ini diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thali radhiyallahu ‘anhu, sepupu baginda.”
Sang bapa mertua mengangguk namun kemudiannya bertanya, “dalam hadith mana yang Nabisallallahu ‘alaihi wasallam sebut perkara tu?”
Amir menjawab, “hadith riwayat at-Thabrani ayah, menurut Ibn Hajar rahimahullahu ta’ala (w.852H) dalam Bulughul Maramnya, Imam Ibn Hibban (w.354H) memandang hadith ini sebagai sahih.”
AL-MU’AWWIZAT DAN SURAH AN-NAS
al-Mu'awwizat
Perjalanan ke rumah tidaklah jauh sebenarnya. Namun, perbualan mereka yang panjang itu membuatkan langkah mereka menjadi perlahan.
Sang bapa mertua terus menunjukkan minatnya. Dia bertanya lagi, “bagaimana dengan al-Mu’awwizat, Amir? Apa kata Nabi?”
Amir tersenyum dan menjawab, “wah, ayah pun nak sebut al-Mua’wwizat ya! Tak mahu sebut tiga Qul..”
Mertuanya itu hanya membalas dengan senyuman.
“al-Mu’awwizat atau seperti maksudnya iaitu surah-surah pelindung sebenarnya surah al-Falaq dan an-Nas sahaja, ayah. Adapun ditambah dengan surah al-Ikhlas adalah pendapat Sheikh Abdullah Besmeih dalam nota kaki Mustika Hadith jilid ke-2,” Amir menerangkan dengan panjang lebar.
Kemudian Amir membaca maksud hadith yang berbunyi:
Uqbah bin Amir (semoga Allah meredhainya) berkata: “Aku disuruh oleh Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) supaya membaca surah-surah al-Mu’awwizat pada tiap-tiap kali selesai mengerjakan solat.
[Sunan An-Nasai: 1309; juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Hakim]
“Kemudian sampailah kita kepada bacaan tasbih, tahmid dan takbir,
Subhanallah
Maha Suci Allah
Alhamdulillah
Segala Puji bagi Allah
Allahuakbar
Allah Maha Besar

Kesemuanya dibaca 33 kali dan diakhiri dengan bacaan tahlil iaitu,
Penutup
Maksudnya: “”[Sahih Muslim: 1416]

Sang bapa mertua tiba-tiba menyampuk, “bukan ke yang deme selalu baca, tahmid dan tasbih 33 kali tetapi takbir 34 kali yang menjadikan semuanya berjumlah 100?”
Amir tersenyum menjawab, “ya, betul tu ayah. An-Nasai ada meriwayatkan bacaan tersebut, kiranya boleh jugalah nak diamalkan.
Selain itu, ketiga-tiga kalimah tersebut boleh juga dibaca sebanyak,
10 kali [Tirmizi: 3041] atau
11 kali [Al-Bazzar dalam Nailul Authar Imam Syaukani], atau
25 kali dengan diakhiri tahlil di atas [An-Nasai: 1323/4] atau
33 kali dengan tidak diakhiri tahlil [Tirmizi: 3473].”
ZIKIR KHUSUS UNTUK SELEPAS SUBUH DAN MAGHRIB
“Adakah yang Amir sebut tadi untuk semua solat fardhu?” tanya mertuanya meminta kepastian.
“Ya, ayah. Cuma untuk solat Subuh dan solat Maghrib ada bacaan tambahan,” jawab Amir mengiyakan jawapan mertuanya itu. Mereka telah hampir sampai ke halaman rumah ketika itu.
“Bacaannya ialah bacaan tahlil tadi iaitu,
Tahlil_Subuh dan Maghrib

dengan tambahan “yuhyi wa yumit” (berwarna hijau) dan dibaca sebanyak 10 kali [al-Tirmidzi - 5:515 dan Ahmad - 4:227],” jelas Amir lagi.
Mereka akhirnya tiba ke pintu rumah lalu salam diberi,
“Assalamu’alaikum!”
Kedua-duanya melangkah masuk ke rumah. Amir menutup pintu.
“Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh!” serentak sang isteri dan sang ibu mertua menjawab salam. Makanan telah siap dihidangkan di meja makan.
“Dan bacaan yang satu lagi ayah yang dibaca sejurus selepas memberi salam solat fardhu Subuh iaitu,
Doa Ilmu bermanfaat
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” [Sahih Ibn Majah: 1-152]

“Apa yang dibincangkan oleh ayah kamu dengan kamu, Amir? Sampai ke meja makan tak selesai lagi,” ‘bebel’ sang ibu mertuanya.
“Menantu kesayangan kamu ni ha, maknyerngajo saya zikir-zikir selepas solat fardhu yang ada dalam hadith saja. Selama ini, zikir-zikir yang kita baca bercampur-aduk, idak gitu Amir? ” jawab sang bapa mertua sambil menyedok nasi ke pinggan.
“Hmm, ya Ayah,” Amir menjawab ringkas. Tangannya dibasuh menggunakan teko yang disua isterinya.
Baguihla gitu, ayahnya, tak sia-siakan kita bermenantukan Amir ni, keghoje jurutera tapi ilmu macam Ustaz,” sang ibu mertua menyendok lauk ke pinggan sang bapa sambil mulutnya lancar memuji Amir.
Tersenyum Amir Izzuddin Hussaini memandang isterinya, Amirah si Ummu ‘Ammar.

Nukilan,
Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.com
18 Jun 2009
34000 Taiping
Rujukan Utama:
  1. Pelindung Diri (Hisnul Muslim), Himpunan Zikir al-Kitab dan al-Sunnah oleh Sa’id bin ‘Aliy bin Wahf al-Qahtaniy, diterjemahkan oleh Baharuddin Ayuddin (Penerbitan Salafi, 2005). *Teks-teks hadith di atas diimbas daripada kutaib ini.
  2. Zikir-zikir selepas solat Fardhu, sebagaimana Yang Diajarkan dan Dilakukan oleh Rasulullah SAW, oleh Hafiz Firdaus Abdullah (Jahabersa, 2005). *Maksud dan riwayat hadith di atas dinukilkan kebanyakannya daripada buku ni.

read more


"Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. "

Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.
Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.
Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.
Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.
Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).
Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.
Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.
Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.
Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.
Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).
Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.
Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.
Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.
Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan.
Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.
Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap, penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.
Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): “Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuanNya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.
Betapa ramai orang politik yang dikelilingi oleh para pengikutnya, lalu kesemua mereka hilang apabila kuasa tiada lagi di tangan. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu mereka bersalaman.
Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati pun tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.
Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Sepatutnya orang kaya, atau orang politik jangan terlalu bangga apabila anda dipuji. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda.
Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta.
Jika anda hidup dalam iklim yang sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.
Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.
Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) “Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.
Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman yang sejati.
sumber: drmaza.com

read more

salam aidiladha dari minda insani

read more

oleh : Prof Madya Dr Maza


      Saya rasa politik kita memerlukan nafas baru. Seperti mana UMNO memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama. Saya seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti. Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini. Kita jangan lupa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kita. Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara. Ada beberapa perkara yang mungkin perlu dinilai:

1. Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksanaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi.
2. Justeru, politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas. Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah(amanah). Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat. Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini. Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah pun bersara, makin mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara. Kata-kata Prof A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula.

 header banner web drmaza.com - hiasan
3. Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkang DSAI, sudah sampai masanya untuk bersara ‘politik’. Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak ‘seimbang’. Zamannya mungkin makin menyusur pergi. Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama. Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.
Maaf atas pandangan ini. Saya insyaAllah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini. Saya tahu sesetengah pembangkang cepat ‘melenting’ jika ada pandangan yang mereka tidak setuju. Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik.

sumber : drmaza.com

read more

Mandi wajib. ya, itulah yang akan di post pada kali ini. Tiba - tiba tergerak untuk post berkenaan ni. Pernah kita terfikir cara mandi wajib yang betul? Pernahkah kita mempelajarinya melalului hadith-hadith yang shahih, yang telah dicontohkan Rasulullah s.a.w. Untuk itu, saya bawakan disini Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah yang saya perolehi dari blog soaljawab.wordpress.com.

Ikuti pembacaannya berikut:

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah

عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.
Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:
ثم أتيته بالمنديل فرده
Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.
Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:
1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.
2) Membaca ‘Bismillah’.
3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.
6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:
ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):
. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر
Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, diblehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.
عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين
Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره
Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)
10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Wallahu’alam. 
Rujukan:
طهور المسلم في ضوء الكتاب و السنة مفهوم و فضائل وآداب و احكام
Terjemahan Indonesia bertajuk: Thaharah Nabi, tuntunan bersuci lengkap oleh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani
 What Every Muslim Must Know about Purification by Abdul Rahman Abdul Karim Al-Sheha

read more